Pejabat Hutan Daerah (PHD) Cameron Highlands telah menutup sementara semua aktiviti rekreasi dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) di daerah tersebut selama lima hari bermula 18 September lalu.
Penutupan ini disebabkan oleh ramalan cuaca yang menjangkakan ribut petir serta hujan berterusan sepanjang minggu, yang berpotensi mengakibatkan tanah runtuh dan pokok tumbang.
Pegawai Hutan Daerah Cameron Highlands, Arifhadi Johari Affandi, berkata penutupan melibatkan semua aktiviti pendakian di HSK Cameron Highlands, termasuk Taman Eko Rimba Mossy Forest dan tapak perkhemahan di Taman Eko Rimba Sungai Pauh.
“Bagi mereka yang telah membuat tempahan pendakian dan perkhemahan dalam tempoh penutupan ini, mereka boleh menghubungi Pejabat Hutan Daerah Cameron Highlands untuk menjadualkan semula tempahan bergantung kepada kekosongan tarikh,” jelas beliau.
Tambahnya lagi, penutupan sementara ini adalah langkah proaktif untuk memastikan keselamatan pengunjung di kawasan popular seperti Taman Eko Rimba Mossy Forest dan Taman Eko Rimba Sungai Pauh, yang sering menjadi tarikan pelancong tempatan serta antarabangsa.
Sementara itu, dalam kenyataan di Facebook, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia turut mengumumkan penutupan sementara operasi Titian Kanopi di Taman Negara Pahang (TNP) akibat kerosakan yang disebabkan oleh pokok tumbang.
Aktiviti Titian Kanopi ditutup bermula 18 September sehingga diberitahu kelak.
Langkah penutupan ini diambil demi memastikan keselamatan pengunjung dan mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini. – JURNAL
Sumber: Harian Metro