Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mendedahkan seramai 23 pegawai polis terlibat sebagai suspek dalam kes jenayah komersil di negara ini sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini. Jumlah ini meningkat berbanding 22 pegawai yang disyaki sepanjang tahun lalu, sekaligus mencetuskan kebimbangan terhadap tahap integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Acap kali saya menekankan tentang perlunya perubahan drastik dalam budaya kerja dan integriti warga PDRM agar pasukan kekal relevan dan dihormati masyarakat. Namun, tahap integriti dan pematuhan standard masih membimbangkan,” katanya dalam ucapan sempena perhimpunan bulanan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK).
Beliau meluahkan rasa kecewa terhadap segelintir anggota pasukan yang mencemarkan imej PDRM dengan kes jenayah, dadah, rasuah, dan salah guna kuasa.
“Saya amat kecewa apabila amanah di sebalik seragam biru yang kita banggakan ini disalah guna oleh mereka yang boleh diibaratkan sebagai manusia tidak bermaruah dan mementingkan diri sendiri.”
Mengulas lanjut, Razarudin menekankan pentingnya integriti sebagai asas jati diri. Dalam semangat Sambutan Bulan Integriti Nasional 2024 bertemakan “Teguh Integriti, Kukuh Pertiwi,” beliau menyambut baik usaha kerajaan memperkasakan pembudayaan integriti dalam pasukan. – JURNAL
Sumber: Berita Harian