Seramai 20 mangsa daripada tujuh keluarga terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Institut Kemahiran Bina Negara (IKBN) Kuala Perlis selepas kediaman mereka di Kampung Baru dinaiki air akibat fenomena air pasang besar.
Fenomena ini berlaku sejak Rabu lalu, dengan kejadian terbaru awal pagi tadi, apabila paras air mencapai 3.6 meter. Air pasang dijangka meningkat hingga 3.7 meter esok pagi.
Pegawai Operasi Negeri Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis, Saifuddin Abdullah, memaklumkan bahawa mangsa termasuk dua warga emas dan seorang kanak-kanak dipindahkan ke PPS yang dibuka pada jam 2.30 pagi.
“Penduduk yang terjejas kita pindahkan ke PPS yang diaktifkan lebih awal dalam perbincangan bersama Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri,” katanya.
Sebanyak 33 anggota APM dan sembilan aset seperti lori dan pacuan empat roda digunakan untuk memantau kawasan pesisir pantai dari Kuala Perlis hingga ke Kuala Sanglang.
Fenomena air pasang ini juga menyebabkan beberapa kampung di Seberang Ramai seperti Kampung Pulau Ketam, Kampung Seberang Alor, dan Kampung Tengah dinaiki air hingga paras betis.
Tinjauan mendapati air mula memasuki kawasan kampung sekitar jam 11.30 malam dan kemuncaknya pada 12.40 tengah malam, sebelum air mula surut berperingkat antara jam 2 hingga 3.30 pagi.
Penduduk Kampung Tengah, Wan Shahriman Wan Ali, 56, berkata, mereka sudah bersedia lebih awal selepas dimaklumkan oleh pihak berkuasa.
“Sejak siang, kami telah memindahkan barangan ke tempat lebih tinggi kerana fenomena ini berlaku setiap tahun,” ujarnya.
Rakannya, Mohd Khairi Abdul Aziz, 45, turut menjangka air pasang akan berlaku lagi malam ini dan telah mengambil langkah awal untuk menyelamatkan barangan penting. – JURNAL
Sumber: Berita Harian