Sebanyak 18 sekolah di Terengganu terpaksa ditutup hari ini susulan keadaan banjir yang semakin memburuk di beberapa kawasan. Langkah tersebut diambil dengan memberikan cuti bencana kepada sekolah-sekolah terjejas, melibatkan empat daerah iaitu Hulu Terengganu, Kemaman, Dungun, dan Setiu.
Pengarah Pendidikan Terengganu, Jelani Sulong, menjelaskan bahawa enam sekolah di Hulu Terengganu terpaksa ditutup. Sekolah tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Periuk, SK Padang Setar, SK Tengkawang, SK Padang Setebu, SK Tengku Ampuan Intan, dan SK Kuala Ping.
“Di Kemaman, lima sekolah turut terjejas iaitu SK Padang Kubu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Putih, SK Pasir Gajah, SK Seberang Tayor, dan SK RKT Seberang Tayor,” katanya.
Tambah beliau, empat sekolah di Dungun yang ditutup ialah SK Pasir Raja, SK Jongok Batu, SK Minda Talong, dan SMK Kuala Jengal. Di Setiu pula, tiga sekolah terlibat ialah SK Sungai Las, SMK Sungai Tong, dan SK Kampung Bukit Ulu Nerus.
Keputusan menutup sekolah-sekolah ini diambil bagi menjamin keselamatan murid dan kakitangan sekolah memandangkan keadaan banjir yang tidak menunjukkan tanda-tanda reda. – JURNAL
Sumber: Kosmo!