Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan dakwaan kebocoran data besar-besaran melibatkan 17 juta maklumat kad pengenalan (MyKad) yang kini dijual di laman web gelap. Perkara itu didedahkan oleh pengguna laman X, Fusion Intelligence Center @StealthMole pada Selasa.
“Didakwa bahawa data 17 juta MyKad warga Malaysia telah dibocorkan dan sedang dijual di web gelap. Sebagai bukti, mereka telah berkongsi secara terbuka sampel kad pengenalan Malaysia di web gelap,” katanya.
Kebocoran ini menimbulkan kebimbangan kerana ia boleh membawa kepada jenayah seperti kecurian identiti dan penipuan kewangan.
Isu kebocoran data bukanlah perkara baharu di negara ini. Pada 2022, laman Facebook Pendakwah Teknologi pernah mendedahkan kebocoran 13 juta maklumat pengguna melibatkan Maybank, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dan Astro. Maklumat tersebut termasuk nama, tarikh lahir, alamat, dan nombor kad pengenalan.
Insiden ini sekali lagi mencetuskan persoalan besar mengenai keselamatan data peribadi rakyat. Langkah segera diperlukan untuk menangani isu ini dan melindungi rakyat daripada ancaman jenayah siber. – JURNAL