Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan buat semua yang terlibat dalam Sambutan Hari Kebangsaan 2023 termasuk mereka yang membanjiri Dataran Putrajaya, pada Khamis.
Menerusi catatan di laman Facebook, Anwar berharap semangat merdeka rakyat itu akan terus diperkukuh dan tersemat jitu di setiap sanubari segenap lapisan masyarakat.
“Penghargaan saya buat semua yang membanjiri Dataran Putrajaya untuk sama-sama meraikan hari besar buat Malaysia dan kesatupaduan yang dipaculkan hari ini ternyata nilai Malaysia yang sebenar,” menurut catatan itu.
Menyifatkan sambutan kali ini cukup luar biasa, Perdana Menteri dalam catatan berbeza turut menghargai mereka yang terlibat dalam sesi perbarisan, pertunjukan udara dan persembahan sepanjang sambutan berkenaan.
“Semangat perpaduan seperti ini yang kita dambakan untuk Malaysia terus melangkah ke hadapan sebagai sebuah negara yang hebat. Hargailah kemerdekaan serta kedaulatan negara ini,” katanya.
Lebih 100,000 orang membanjiri Dataran Putrajaya bagi menyaksikan Sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang melibatkan 17,262 peserta, 67 kontinjen, 36 kumpulan pancaragam, 534 aset darat dan aset udara serta 100 ekor haiwan dalam perkhidmatan.
Sambutan itu turut disiarkan dan diikuti jutaan rakyat Malaysia secara langsung melalui kaca televisyen dan laman media sosial serta diraikan secara serentak di seluruh negara bermula jam 7 pagi. – JURNAL
Sumber: BERNAMA