CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) menjalin kerjasama strategik dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi melaksanakan kaedah pembelajaran maya, CelcomDigi Metaversity di 10 universiti tempatan.
CelcomDigi Metaversity menggunakan aplikasi teknologi canggih seperti metaverse, realiti lanjutan (XR) dan kecerdasan buatan (AI) serta disokong sambungan 5G dan fiber CelcomDigi untuk pengalaman digital yang optimum.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, inisiatif itu satu kejayaan mengagumkan buat CelcomDigi dalam menerajui inisiatif ke arah penyelesaian dalam memberi inspirasi kepada pelajar di Malaysia.
Sebagai permulaan katanya, program itu akan memanfaatkan 10 universiti membabitkan lapan universiti awam (UA) dan dua institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) sebelum diperluaskan di seluruh negara.
“KPT mahu pastikan semua universiti terbabit dengan program ini kerana kita tidak mahu universiti ketinggalan dalam teknologi sebab Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat mementingkan teknologi dan tidak mahu negara kita ketinggalan.
“Kita menggalakkan lebih banyak institusi pendidikan serta pemain teknologi dan industri untuk sama-sama menyuntik nafas baru dan merevolusikan sistem pendidikan negara seterusnya mengangkat bakat negara ke tahap yang lebih tinggi,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran CelcomDigi Metaversity di Menara CelcomDigi di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi.
Dalam pada itu, Idham berkata, Malaysia perlu bersedia dengan perubahan teknologi terutamanya AI, malah kerjasama dengan universiti tempatan bakal melahirkan graduan yang memenuhi kehendak industri dan berkemahiran dalam aplikasi metaverse.
“Matlamat kami di sini amat jelas iaitu membantu mempercepatkan kesediaan bakat masa depan di samping meletakkan universiti tempatan sebagai antara institusi pembelajaran tercanggih di rantau ini.
“Dengan memanfaatkan kuasa teknologi 5G, AI, metaverse dan Internet Kebendaan (IoT), kami boleh meningkatkan cara kami mendidik serta melatih doktor, jurutera, saintis dan juruteknik untuk masa depan,” katanya.
CelcomDigi Metaversity membabitkan modul pembelajaran maya yang memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan kemahiran mereka dan mencipta peluang inovasi meliputi pelbagai sektor industri seperti penjagaan kesihatan, kejuruteraan, robotik dan keselamatan siber.
Pelajar yang mendaftar dalam kursus pembelajaran maya CelcomDigi Metaversity akan menerima pensijilan metaverse dari VIRNECT dan XRA selepas selesai menjalani kursus itu.
Setakat ini, CelcomDigi Metaversity melaksanakan enam kes pengguna dengan universiti tempatan membabitkan muzium maya, hospital pengajaran perubatan, pembuatan kereta, robotik, keselamatan siber dan kejuruteraan minyak dan gas (O&G). – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO